Friday 16 December 2011

adab ikhtilaf

IMAM HASSAN AL BANNA MENANGANI PERBEZAAN PENDAPAT
WRITTEN BY AKADEMI TARBIYAH DEWAN PEMUDA PAS PUSAT



Saya tidak pernah menjumpai para pendakwah Islam dan tokoh-tokoh mujaddid masa kini yang benar-benar memahami masalah adab ikhtilaf dan feqah-nya seperti kefahaman yang dilumati oleh As Syahid Imam Hassan Al Banna. Beliau mentarbiah para pengikutnya dengan fahaman jernih. Ini kerana keinginannya yang sangat kuat melihat kesatuan umat Islam, dan usahanya yang bersungguh-sungguh, diiringi kesedaran yang jitu untuk menyatukan gerakan-gerakan Islam. Biarpun usaha beliau tidak sepenuhnya terlestari pada zaman ini, sekurang-kurangnya beliau dapat menyatukan usul dan fahaman Islamiyyah dalam gerakan dakwah. Dalam hubungan ini beliau telah mencipta – Usul 20 – yang terkenal menjadi rujukan seluruh gerakan Islam di seluruh dunia.

Imam Hassan Al Banna mengakui bahawa perbezaan pendapat dalam perkara-perkara furu' dan hukum-hukum amaliah tidak mungkin dapat dihindarkan. Oleh itu, beliau telah mengutarakan masalah ini pada beberapa risalah dakwahnya. Sungguh indah dan banyak memberi faedah.Pada risalahnya yang bertajuk – Dakwatuna (Dakwah Kita) – beliau berbicara tentang ciri-ciri dakwah adalah bersifat umum, tidak hanya disalurkan secara selektif, tidak memihak kepada pendapat yang mahsyur di kalangan manusia dengan corak yang tertentu sahaja, tetapi mestilah menuju kepada inti agama dan jiwanya, bercita-cita untuk menyatukan matlamat sehingga amal yang dilakukan menjadi lebih positif dan hasilnya menyeluruh.

Imam Hassan Al Banna bersama kebenaran di mana sahaja, beliau gemar melakukan permuafakatan dan benci kepada anasir kasta dalam masyarakat Islam. Baginya, cubaan yang paling berat kepada umat Islam ialah perpecahan dan pertikaian, sedangkan asas kemenangan itu ialah kesatuan. Natijah tidak akan berakhir dengan baik kepada gerakan Islam yang berpecah, melainkan jika mereka memulakan langkah awal dengan perpaduan dan ukhuwwah.

Sesungguhnya Imam Malik RA telah berkata kepada Abu Ja'far , “Para Sahabat Rasulullah SAW telah bertebaran di beberapa buah kota. Di setiap perkampungan masing-masing mempunyai ilmu (hujjah) tersendiri, maka apabila engkau hanya mengagungkan satu pendapat sahaja nescaya akan berlaku fitnah”.

Lihatlah Imam As Syafi'e RA membentuk mazhab qadim di Iraq, kemudiannya membentuk mazhab jadid di Mesir. Kedua-dua aliran pandangan itu diambilnya dengan apa yang terang dan nyata, beliau berusaha dengan sesungguhnya (berijtihad) supaya umat Islam berada dalam kebenaran.Ijma’ atas perkara furu' adalah tuntutan yang mustahil, bahkan tidak mungkin berlaku dengan tabiat murunah agama ini. Allah menghendaki bagi feqah agama ini sejalan dengan perkembangan semasa. Dengan itu para pemuda hendaklah bersifat lembut, tidak jumud, terlalu rigid atau melampau terhadap satu-satu pandangan.Para Sahabat juga berbeza pendapat sekalipun mereka orang yang paling dekat dengan Rasulullah, dan paling tahu mengenai qarinah-qarinah hukum. Lalu mengapa pula halnya kita bertegang urat, bersumpah seranah dalam perkara-perkara yang remeh temeh yang tidak ada kepentingannya?

Para imam mazhab, manusia kurniaan Allah yang paling alim tentang Kitab-Nya dan Sunnah RasulNya, turut berbeza pendapat antara satu sama lain, lalu kenapa kita tidak berlapang dada seperti mereka? Inilah pendapat As Syahid Imam Hasan Al Banna tentang perbezaan pendapat dalam masalah feqah dan inilah pendiriannya yang menunjukkan kefaqihannya dalam hal agama, sejarah dan realiti yang berlaku kepada umat Islam. Di antara pendirian bersifat amaliah yang diceritakan mengenainya (Imam Hassan), bahawa beliau pergi menziarahi salah sebuah kampung untuk menyampaikan ceramah. Kebetulan hari itu bulan Ramadhan. Penduduk kampung di situ telah berpecah kepada dua golongan yang saling berselisih-faham tentang jumlah rakaat solat Tarawih. Adakah 20 rakaat sebagaimana yang dilakukan semasa pemerintahan Umar dan terus diikuti oleh manusia berabad-abad selepasnya, ataupun 8 rakaat sahaja sebagaimana telah warid dari perbuatan Baginda Nabi SAW.

Pendapat yang bertentangan dianut dengan fanatik oleh tiap-tiap golongan sehingga menyebabkan mereka berkelahi kerana masing-masing mendakwa bahawa kebenaran berada di pihaknya.Akan tetapi Hasan Al Banna RA menghadapkan kepada mereka beberapa persoalan.

“Apakah hukum solat tarawih?”

“Sunat, diberi pahala orang yang memperbuatnya dan tidak diseksa orang yang meninggalkannya”, jawab mereka.

Beliau bertanya lagi : “Apakah hukum memelihara ukhuwwah sesama Islam?”

“Wajib (menjaga ukhuwwah) kerana ia merupakan urat dari sendi-sendi iman”, jawab mereka.

Lalu beliau berkata : “Adakah wajar dalam syariat Allah yang suci ini, kita abaikan yang wajib kerana hendak memelihara yang sunat? Seandainya kamu tetap memelihara ukhuwwah dan perpaduan kamu, dan kamu balik ke rumah kamu agar tiap-tiap orang daripada kamu mengerjakan solat tarawih mengikut bilangan yang dianggapnya lebih kuat dalilnya, 8 rakaat ataupun 20 rakaat, itu adalah lebih baik daripada kamu berbantah-bantah pada perkara yang tidak ada mustahaknya”.

Saya (Yusuf Al Qaradawi) pernah menceritakan peristiwa ini kepada seseorang, tetapi persoalan lain pula ditujukan kepada saya, “Kenyataan (Imam Hasan Al Banna) adalah petanda melarikan diri dari kebenaran, sedangkan menjelaskan sunnah yang sebenar ialah menjauhkan diri dari bid'ah sebagai urusan yang wajib dipertahankan”.

Saya menjawab, ”Perkara ini adalah luas, dan saya walaupun mengerjakan solat tarawih hanya 8 rakaat, tetapi saya tidak mengatakan bid'ah kepada orang yang mengerjakan solat tarawih sebanyak 20 rakaat”.

Kemudian itu dia berkata lagi, “Tetapi memastikan kesahihan sesuatu hukum itu adalah wajib dan tidak sepatutnya kita lari menyatakan kebenaran”.

Saya menjawab, ”Benar, apabila perkara itu berkisar di antara yang halal dan yang haram, di antara yang hak dengan yang batil. Adapun perkara-perkara yang menjadi perselisihan pendapat dalam aliran-aliran feqah, di mana masing-masing mempunyai hujjah yang pelbagai, dan perkara itu biasanya berkisar di antara yang harus dan yang lebih afdhal, maka tidak ada sebabnya kita bersikap keras dan menyusahkan orang untuk berpegang dengan satu pendapat sahaja”.Inilah yang telah ditetapkan oleh para ulama yang bersikap adil dan wasatiyyah".

Oleh : Dr.Yusuf Al Qaradawi, Presiden Ulama Islam Sedunia Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...