Diberikan peluang dan kesempatan oleh Allah untuk membuat praktikal di hospital sewaktu cuti musim panas ini memberikan banyak pengajaran serta pengalaman buat diri aku. Bukan tidak pernah berada di hospital, namun inilah kali pertama kali aku menjejakkan kaki di hospital tanah air sebagai seorang pelajar perubatan. Sungguh bermakna rasanya proses pembelajaran ini, apalagi apabila berada di kalangan orang tempatan kita.
…………..
Tidak dinafikan, sungguh mulia tugas seorang doktor. Sebahagian besar waktu dalam sehari dihabiskan di hospital dengan pelbagai tanggungjawab, malah apabila tiba giliran ‘oncall’, masa tidur pula terpaksa dikorbankan. Makan sehari-hari juga tidak menentu bagi memenuhi tugasan seharian. Tidak keterlaluan untuk aku katakan berapa banyak airmata tumpah apabila menghadapi kesukaran dan cabaran di tempat kerja, dan berapa banyak kali juga rungutan kesal disuarakan, tapi doktor-doktor ini masih tabah meneruskan kerja yang tidak pernah ada cutinya ini. Kagum sekali dengan semangat mereka!
Menghadapi situasi seperti ini, hanya satu yang mampu dan berjaya menguatkan kita membawa amanah ini; Ikhlas kepada Allah swt. Keikhlasan ini membuatkan kita bersedia 100% menjalankan tanggungjawab yang telah diberikan kepada masyarakat dan tidak pernah jemu untuk berkhidmat walaupun ganjaran yang diperolehi tidak seperti yang diharapkan. Keikhlasan membuatkan kita tidak berharap pada pujian dan penghargaan manusia, dan tidak juga kecewa apabila bila dimarah, dicemuh.
………………..
Pekerjaan yang tidak menentu seringkali mencabar seorang doktor untuk menjaga solatnya, apatah lagi di kala menghadapi situasi kecemasan yang menuntut keseluruhan tumpuannya. Aku masih teringat akan keadaan seorang pesakit yang agak kritikal kira-kira jam 5 petang. Plan dibuat bagi memastikan pesakit diberikan perhatian sewajarnya sebaik mereka pulang kerja. Namun, belum pon urusan disempurnakan, pesakit telah muntah darah dan keadaannya semakin buruk. Walaupun semua usaha telah dilakukan, pesakit disahkan meninggal dunia jam 8 malam. Dari pengamatan aku, dan disahkan oleh sahabat-sahabat doktor, solat Asar serta Maghrib mereka pada hari tersebut ’hangus’ begitu sahaja. Itulah cabarannya! Namun demikian, sekiranya kita telah menyandarkan segala tanggungjawab kerja kita ini kerana Allah swt, kita memohon keampunan yang tinggi daripada Allah atas kelalaian tersebut. Persoalan aku, jika seorang doktor menghadapi cabaran dalam menjaga ibadat wajibnya, apatah lagi ibadat sunatnya. Maka, bagi mengelakkan agar masa yang diluangkan di hospital itu sia-sia, perlulah kita niatkan segala perbuatan kita kepada Yang Satu supaya pekerjaan kita menjadi sebahagian daripada ibadah.
…………………..
Sehari-hari di dalam ward, aku tidak pernah putus mendapat berita pemergian seseorang pesakit. Setiap hari, ada sahaja pesakit yang disahkan meninggal dunia, sehinggakan aku merasakan ia menjadi sesuatu yang biasa di hospital. Kematian itu sesungguhnya sesuatu yang misteri dan menjadi rahsia Allah swt. Tiada siapa yang mengetahui dan mempunyai sebarang klu tentang saat mereka dijemput Malaikat Izrael. Berapa ramai pesakit yang mampu bersuara dan berkomunikasi dengan doktor dengan baik semasa ’wardround’, namun disahkan meninggal beberapa ketika kemudian. Ramai sekali!
Walaupun kematian pesakit merupakan satu situasi yang ’melalikan’ para doktor, aku suka untuk mengingatkan diri aku sendiri agar aku mengambil iktibar daripada keadaan ini. Kerja yang mencabar dan mendesak kadangkala membuatkan kita berada dalam keadaan sedikit tertekan. Lebih-lebih lagi, apabila berhadapan dengan pesakit yang telah lama berada di hospital dan mempunyai banyak kerenah. Walaupun pesakit dilayan dengan baik, namun tidak dapat dinafikan kita kadangkala merungut, memperlekehkan dan memperkatakan sesuatu yang buruk tentang mereka di belakang.
Maka, para doktor sekalian, janganlah kita memperkatakan yang buruk-buruk tentang pesakit kita kerana sesungguhnya kita tidak pasti bila saatnya dia dijemput Allah swt. Dan sekiranya saat itu telah tiba, kita sendiri tidak pasti adakah kita mempunyai kesempatan untuk memohon maaf daripada mereka. Pekerjaan seorang doktor itu amat mulia dan baik, dan boleh menjadi paltform kita mengumpul pahala yang banyak sekali, jadi janganlah pula kita ’hapuskan’ semua pahala itu dengan membuat perkara dosa terhadap pesakit dan ahli keluarga mereka. Jagalah ehsan kita terhadap manusia yang lain dan pupuklah sifat hablun minannas dalam lubuk hati kita, tanpa mengira latar belakang mereka.
……………………………….
Banyak lagi pengalaman dan pengajaran yang dapat aku kutip, namun tidak dapat dinukilkan di sini. Yang nyata, semuanya berharga bagi diri aku dalam mempersiapkan diri sebelum kembali berkhidmat nanti. Moga Allah mempermudahkan urusan hambaMu ini dalam mengejar cita-cita ini. Ameen Ya Rabbal ’alamin..
sumber: atap hijau
No comments:
Post a Comment