Thursday, 24 February 2011

Tertindas? Ditindas?

Salam semua


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Seorang sahabat mengadu kepada Nabi SAW perbuatan jahat jirannya. "Sesungguhnya jiranku menyakitiku". Sabda Nabi s.a.w: "Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan". Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: "apa yang berlaku kepadamu?". Dia menjawab: "Jiranku menyakitiku". Maka mereka berkata: "Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia". Dengan sebab itu, jirannya berkata: "Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi". (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).


Hadith ini menerangkan keharusan menunjukkan perasaan kita kepada masyarakat apabila kita disakiti dan diperlakukan sewenang-wenangnya oleh orang lain. Harus dilakukan tindakan seperti ini apabila kita tidak ada ruang lain untuk menghalang perbuatan jahat dan penindasan tersebut. Dengan tindakan seperti ini, diharapkan orang yang melakukan penganiayaan terhadap orang lain, akan sedar dengan kesilapan mereka lalu bertindak memperbaiki keadaan tersebut dari berterusan.

Kadang-kadang masyarakat tidak sedar, ada di kalangan mereka yang tertindas dan dizalimi.Dengan cara menunjukkan perasaan barulah mereka tahu.

Nabi SAW menyarankan agar sahabat tersebut membawa keluar peralatan rumah sebagai menunjukkan kepada masyarakat dia sedang menghadapi kejahatan jirannya.Jiran yang sepatutnya membantu meringankan beban, sebaliknya bertindak menambah beban dalam kehidupan keluarga beliau.


Hadith ini juga menunjukkan bahawa , Islam sentiasa bersama golongan yang tertindas dan dizalimi.Bahkan Islam menunjukkan jalan keluar untuk mereka bertindak ,bukan sekadar redha dengan apa yang berlaku dan menyerah kepada takdir.

Perkataan yang kotor dan caci maki asalnya haram. Namun bagi orang yang dizalimi yang tiada ruang dan cara lain untuk menyatakan bantahan terhadap kezaliman tersebut,serta luahan perasan mereka, mereka dibenarkan untuk menggunakan kata-kata kotor. Firman Allah yang bermaksud.


'Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

(an nisa' 4:148)


Sesungguhnya Islam adalah agama yang membela golongan tertindas dan teraniya. Agama yang menjadi pelindung kepada golongan yang lemah. Benarlah ia adalah agama yang diturunkan Allah untuk menjadi rahmat kepada seluruh manusia. Bersamalah kita dengan golongan yang tertindas dan dizalimi sebagaimana Islam bersama mereka.Bantu dan belalah mereka apa yang termampu. Elakkan diri kita terjerumus ke lembah kezaliman dan penindasan, nescaya Allah akan bersama kita.


Sent from my BlackBerry® wireless device

Best Blogger Tips

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...